Spesies Snakehead Kegilaan Pemancing Malaysia

Haruan – Spesies Snakehead Kegilaan Pemancing Malaysia
Seekor ikan yang begitu tahan lasak sehingga mampu hidup tanpa air. Ikan yang cukup kuat untuk terus bertahan di tempat yang kebanyakan ikan lain tidak mampu. Ia menyambar gewang topwater anda dengan agresif, membuatkan anda terasa seperti memancing buat kali pertama.
Ikan yang dimaksudkan ialah spesies Snakehead, yang dikatakan sesetengah pemancing lebih hebat daripada Largemouth Bass (LMB) di luar negara!
Terdapat 21 spesies dalam keluarga Snakehead (Channidae), yang dibahagikan kepada dua genus: Channa dan Parachanna. Genus Channa berasal dari Asia, manakala genus Parachanna yang lebih kecil berasal dari Afrika.
Di Malaysia, Snakehead yang paling terkenal ialah Haruan (Channa striata) kerana spesies ini menjadi kegilaan para pemancing untuk merasai sensasi tarikannya, di samping mudah ditemui di serata negara.
Cara Mengenal Pasti Spot Haruan (Channa striata)
Haruan di Malaysia sangat mudah didapati. Dengan daya tahan yang kuat, ia mampu hidup dalam air yang sangat cetek. Berikut 4 lokasi utama untuk anda memburu Haruan:
1. Parit & Longkang Sawah Padi
Haruan suka kawasan air cetek dengan rumpai atau lalang di tepi.
Mudah ditemui di kawasan kampung, terutama berhampiran sawah, parit, dan kebun sawit yang sering banjir.
2. Tali Air & Kolam Terbiar
Air yang tenang, sedikit keruh, dan mempunyai banyak tumbuhan air seperti teratai atau keladi.
Haruan gemar bersembunyi di celah rumpai atau di tepi tebing yang mempunyai struktur, menunggu mangsa lalu.
3. Sungai Kecil & Anak Sungai
Bahagian yang cetek dengan aliran perlahan merupakan spot terbaik.
Kehadiran Haruan biasanya dapat dikesan melalui boiling (pusaran air) atau percikan ketika ia mengejar mangsa.
Fokuskan 2–3 kali balingan gewang pada tempat yang sama untuk memujuknya keluar dari persembunyian seperti akar pokok atau batang kayu.
4. Tasik & Paya Berlumut
Kawasan redup dengan tumbuhan seperti teratai, kiambang, atau kangkung sangat sesuai kerana Haruan mudah naik ke permukaan untuk mengambil udara.
Haruan gemar menunggu di bawah tumbuhan air untuk menyergap mangsa. Jika anda ternampak percikan air berhampiran tumbuhan tersebut, besar kemungkinan Haruan berada di radius kawasan itu kerana sifatnya yang sangat territorial.
Tip Spot Pancing Haruan
Waktu terbaik: Awal pagi (6.30–9.00 pagi) dan lewat petang (5.30–7.30 malam) ketika suasana redup. Pada waktu ini, Haruan biasanya aktif memburu anak ikan di kawasan cetek.
Lokasi hot spot: Kawasan berumput, berpokok, atau ada struktur seperti kayu tumbang.
Umpan/gewang sesuai: Gunakan soft plastic atau soft frog untuk mengelakkan mata kail tersangkut pada tumbuhan air.
Tanda kehadiran: Percikan kecil di celah rumpai atau bunyi anak ikan dikejar menandakan Haruan berada di kawasan tersebut. Buat beberapa kali balingan dalam radius yang sama untuk meningkatkan peluang sambaran.
Dengan teknik dan setup yang betul, Haruan bukan sahaja memberi tentangan padu, malah menjadi pengalaman memancing yang cukup mengujakan.
Anda juga boleh mencari tekong-tekong yang menawarkan servis dan target spesis ini di www.fishon.my
Trip yang padu bermula dengan satu tempahan di fishon.my
Comments (0)
No comments yet. Be the first to comment!
